Minda Pencinta...

Tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri.. di Tanah Melayu ini, mungkinkah tamadun Melayu terbina?...

07 November 2009

Sesekali mengimbau kenangan...

Saya sedang leka memasukkan data maklumat pelajar semester baru apabila pintu bilik pejabat saya dirempuh dengan kasar oleh seseorang. Tanpa ketukan memohon izin dan tanpa salam, Zafir (bukan nama sebenar), seorang daripada pelajar saya pada semester sebelumnya masuk dengan wajah mencuka.

Pelajar lelaki dengan badan bersaiz dua kali ganda saya itu mencampakkan slip keputusan peperiksaannya ke atas meja saya. ‘Ah, apa pula kali ini? Pasti ada lagi yang tidak kena’, desis hati saya.

“Beginikah Cik menilai usaha saya?? Gred D untuk Bahasa Melayu?? Macam ini ke Melayu, langsung tak mahu tolong orang Melayu?? Sebab gred yang Cik beri ini, saya kena tendang dari program degree tahu!!”

Panjang juga bebelannya (saya hanya dapat mengingati sebahagian sahaja). Dalam debar yang tidak ketentuan hala, sedaya upaya saya cuba bertenang dan mengawal perasaan panik (mahunya tidak panik, baru sebulan saya bergelar pensyarah di situ!).

Sebaik Zafir diam, saya memberanikan diri bersuara, “Ada apa-apa lagi yang awak hendak beritahu saya?”

Sesaat. Dua saat. Dia hanya membisu. Wajahnya tetap masam kelat.

Perlahan (walau pun sebenarnya agak gementar), saya meneruskan kata-kata, “Saya kesal dengan tuduhan awak, tetapi tidak mengapa, saya terima. Cuma satu pesan saya, sepuluh tahun lagi, jika awak dapat bergelar jurutera yang berjaya, awak datanglah cari saya. Boleh, kan?”

Aduh, sekali lagi pintu bilik pejabat saya berdentum apabila Zafir berlalu.

Ah, sepanjang satu semester bergelar pelajar kelas saya, Zafir adalah pelajar yang sangat bermasalah. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang mencatat kehadiran kurang daripada 65% waktu keseluruhan kuliah. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang namanya tidak disenaraikan dalam kertas projek oleh ahli kumpulannya gara-gara sikapnya yang enggan memberi kerjasama dalam tugasan yang diberi. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang tidak hadir ke peperiksaan pertengahan semester atas alasan hujan (sedangkan pelajar ini berkereta mewah ke sana ke mari).

Belum sempat saya menyambung tugasan yang tertangguh, Zafir masuk lagi ke bilik pejabat saya. 'Aik, mahu minta maafkah?' getus hati saya yang sudah mula mahu tersenyum. Malangnya senyuman dalam hati itu terpadam apabila Zafir menghulurkan telefon bimbitnya ke arah saya.

“Ayah saya mahu bercakap dengan Cik.”

Pahit rasanya tekak pada ketika itu. Dengan lafaz Bismillah, saya mengambil telefon itu dan mula memberi salam. Dato’ Johari (bukan nama sebenar) berada di hujung talian. Ah, anak Dato’ Datin rupanya!

Dato’ Johari lebih tenang berbanding anaknya. Dengan nada lembut (memujuk?) beliau memohon saya membuat surat sokongan agar anaknya tidak ditendang dari pengajian peringkat ijazah di universiti kami. Katanya, dia malu jika orang tahu bahawa anaknya diturunkan kelayakan dari program ijazah ke program diploma.

Setenang mungkin saya menjelaskan kepada Dato’ itu bahawa anaknya sangat beruntung kerana tidak dibuang sahaja dari universiti sebaliknya diturunkan ke program diploma. Jika di IPTA, perkara sebegitu tidak berlaku. Di IPTA, pelajar yang sudah diberikan 2 kali amaran akan diberhentikan terus pengajian ijazahnya.

Dato’ itu tidak berputus asa. Dia terus cuba memujuk saya. Maka, terpaksalah saya berterus-terang bahawa tidak ada sebarang dokumen yang boleh menyokong anaknya. Rekod kehadiran, rekod tugasan dan penilaian markah anaknya tidak melayakkan dia lulus dengan gred D, namun saya masih ‘bermurah hati’ kerana tidak menggagalkannya.

Saya juga menjelaskan kepada Dato’ Johari bahawa Zafir bukan ditendang dari program ijazahnya hanya kerana dia mendapat gred D bagi kursus Bahasa Melayu, tetapi juga kerana dia gagal dalam hampir kesemua kursus lain yang diambilnya.

Akhirnya Dato’ Johari mengalah. Sebaik talian diputuskan, saya memulangkan telefon itu kembali ke tangan Zafir. Anak muda yang masih berwajah kelat itu berlalu tanpa sepatah kata.
_____________________________________

Sepuluh tahun sudah berlalu. Entah mengapa ingatan saya kembali diheret mengenang Zafir. Saya tidak tahu di mana Zafir sekarang. Entah apa nasib anak muda itu selepas pengajian ijazahnya dihentikan. Saya sendiri tidak pasti sama ada Zafir menamatkan pengajian diplomanya atau tidak.

Perasaan kesal masih beraja di hati. Setiap kali teringat kisah ini, saya pasti mendoakan agar pintu hati anak itu telah dibuka ke arah kebaikan.

Saya sangat pasti bahawa Zafir adalah anak yang pintar. Dia adalah seorang daripada ratusan pelajar cemerlang yang layak melanjutkan pengajian peringkat ijazah di luar negara. Akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara pada ketika itu, kelompok pelajar pintar ini dimasukkan ke univerisiti tempatan milik GLC yang pada awalnya memang ditubuhkan khusus bagi menampung keperluan kelompok pelajar cemerlang ini.

Sayang seribu kali sayang. Entah di mana silapnya, anak pintar seperti Zafir boleh terkandas dalam pengajian. Mungkin akibat runtunan rasa kecewa apabila gagal memenuhi cita-cita mahu melanjutkan pengajian di luar negara.

Apa pun, saya sangat ingin mendengar khabar tentang Zafir. Saya sangat ingin mendengar berita kejayaannya dalam membina kehidupan. Insya-Allah, saya yakin dia sudah berjaya seperti pelajar-pelajar saya yang lain.

6 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam. Kisah ini menarik. Pensyarah Zafir pula penyabar dan tegas. Tidak tahulah apa akan terjadi jikalau penulis ulasan ini berada di tempat pensyarah Zafir. Apa-apa pun, kita doakan dia berjaya.

Marniyati berkata...

Salam. Terima kasih kepada tuan kerana sudi mendoakan pelajar saya. Saya bukanlah seorang yang penyabar tetapi situasi ketika itu mendorong saya lebih berasa takut (sebab itu kelihatan seperti sangat bersabar, hehehe). Maklumlah, baru sebulan menempuh alam kerjaya sudah dihidang kejadian sebegitu rupa. Alhamdulillah, kenangan itu banyak mengajar saya. Bukan mudah mencurah ilmu kepada anak bangsa.

mendewa berkata...

Situasi sudah terhantuk baru tengadah. Begitulah halnya yang banyak berlaku dalam kehidupan kebanyakan masyarakat kita.
Tahniah kerana puan mempunyai ketegasan dalam menyatakan hak.
Mudah-mudahan Allah memberkati dan memberikan kejayaan kepada kehidupan insan yang diceritakan.

abu muaz berkata...

Adik saya pernah juga didatangi oleh seorang bapa pelajarnya. Kemarahan bapa tersebut sangat terserlah.Pagi-pagi buta lagi sudah berada didepan pintu pengetua dgn wajah lebih masam dari cuka. Pengetua menghubungi adik saya hendak tahu kedudukan kes. Adik saya guru disiplin waktu itu. Bila pengetua memberi bukti tentang kesalahan anaknya ..... sibapa pula yang minta biar dia sendiri yg merotan anaknya didepan pengetua..... semua terkedu dan kini anaknya sedang belajar disalah sebuah IPTA dalam bidang perguruan.... kebetulan pula adik saya pensyarah disitu....dunia ini sangat kecil rupanya.

abdul hadi berkata...

anak datuk. huh! rasa nak terajang (sambil terajang dinding)

Melihat Kesunyataan berkata...

Marni,
Saya pernah jadi penuntut dulu. Memang ada yang jenis macam anak Dato' yang seorang ni. Sepatutnya dia berfikir bukan senang untuk mendapat tempat/belajar di pusat pengajian tinggi. Ramai lagi yang memohon, yang layak. Jadi peluang sebegini sepatutnya jangan diabaikan.
Sebab itulah ramai pelajar Melayu yang gagal.Bukan kerana tidak pintar, tetapi lebih kepada malas dan tidak sedar diri.