Minda Pencinta...

Tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri.. di Tanah Melayu ini, mungkinkah tamadun Melayu terbina?...

25 November 2009

Cuti sekolah dan akidah anak-anak...

Cuti sekolah kembali lagi. Pastinya 1001 agenda sudah mewarnai kalendar perancangan ibu bapa sepanjang cuti kali ini. Namun, kesibukan menghadap tesis agak mengekang langkah saya membawa anak-anak keluar bercuti. Jika ada perancangan 'jalan-jalan cari makan' pun, kami perlu menunggu tibanya hujung minggu.

Mengisi ruang masa cuti yang sangat berharga ini adalah aktiviti seharian anak-anak di rumah. Bermain dengan penuh imaginasi, membaca buku cerita dan menonton tv adalah sebahagian daripada agenda utama mereka.

Walau pun tidak dapat ikut sama menonton (masa saya lebih banyak dihabiskan dengan menghadap laptop), namun saya tetap memastikan saya sentiasa berada di sisi mereka terutamanya ketika menonton tv. Mengapa ya? Nah, mari saya ceritakan satu daripada sebabnya. Sudah terlalu kerap kejadian ini berulang dan semalam ia berlaku lagi.

Anak-anak sedang menonton satu siri drama Indonesia. Kisah 'dunia khayalan, dunia impian' mewarnai rancangan tv sempena cuti sekolah. Sebaik tamat rancangan itu, tiba-tiba Farhan bertanya, "Mama, betul ke pari-pari boleh melindungi kita dari kesusahan dan bencana? Boleh ke pari-pari selamatkan dan jaga kita? Pari-pari cakap macam tu dalam cerita tadi".

Tersentap juga dibuatnya. Bagaimana saya boleh terlalu leka menaip sehingga boleh terlepas pandang dialog itu dituturkan dalam drama tersebut? Jenuh pula saya meyakinkan semula anak itu tentang konsep kita hanya boleh berlindung kepada Allah dan hanya Dia yang berkuasa atas segalanya.

Ah, ini bukanlah kali pertama situasi sedemikian berlaku. Hampir setiap hari ia berulang. Siri kartun Doraemon pun boleh merosakkan akidah kanak-kanak apabila mereka percaya Doraemon itu penyelesai segala masalah dan boleh menjadi tempat mengadu (Tuhan entah ke mana). Tanggapan seperti ini sangat mudah meresapi jiwa bersih kanak-kanak dan ia sangat berbahaya.

Saya mula terfikir, apa sudah jadi dengan saluran televisyen kita agaknya? Sudahlah minggu lalu saya terjumpa iklan tuala wanita menganjurkan pertandingan mengira panties (seluar dalam???), rancangan dramanya pula tidak bertapis sehingga boleh merosakkan akidah kanak-kanak (tidak mustahil akidah orang dewasa juga boleh dirosakkan sekali).

Tidakkah pihak bertanggung jawab sedar semua ini? Tidak adakah tindakan yang boleh diambil? Atau mereka hanya bekerja dan bertindak jika ada laporan? Jenuhlah hendak membuat laporan terhadap setiap satu iklan, drama dan program yang disiarkan! Aduhai...

21 November 2009

SBP untuk siapa?

Debaran menunggu keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah reda apabila keputusan peperiksaan tersebut diumumkan pada Khamis lalu. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.

Kepada pelajar yang kurang cemerlang, janganlah cepat berasa kecewa. Semua, ya SEMUA, hasil kajian pakar psikologi (di US, UK, dan Malaysia) menunjukkan bahawa tiada korelasi antara pencapaian akademik di sekolah rendah dengan pencapaian akademik di universiti. Jadi percayalah, jalan untuk kita menempa kejayaan masih panjang.

Hari ini saya tertarik dengan satu laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan. Laporan itu menyatakan bahawa laman facebook Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Puad Zarkashi 'diserang' oleh ibu bapa yang merayu agar anak mereka (yang baru mendapat keputusan UPSR) diberikan tempat di sekolah berasrama penuh (SBP).

Setiap tahun, situasi ini dilaporkan berulang. Ibu bapa berlumba-lumba mendapatkan tempat di SBP untuk anak masing-masing tanpa menyelidik sama ada mereka benar-benar berhak berbuat demikian.

Mengapa mereka tidak berhak?

SBP ditubuhkan dengan matlamat membantu pelajar cemerlang di luar bandar mendapat kemudahan pendidikan yang lebih sempurna, setanding dengan rakan sebaya mereka yang tinggal di bandar. Diulangi: untuk PELAJAR CEMERLANG DI LUAR BANDAR!

Apa pun, sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa di bandar termasuklah anak menteri dan anak pegawai-pegawai kanan kerajaan (yang sudah pasti bertugas di bandar) memohon (dan menggunakan 'kabel') bagi mendapatkan tempat di SBP. Kecenderungan ini boleh menyebabkan anak-anak yang lebih berhak dipinggirkan.

Hakikatnya, pelajar di luar bandar yang mendapat keputusan 4A1B dan cemerlang dalam ko-kurikulum di sekolahnya jauh lebih layak menempatkan diri di SBP berbanding pelajar di bandar yang mendapat 5A dan cemerlang dalam ko-kurikulum di sekolahnya. Benar begitu, bukan?

Terlintas juga di fikiran ini, apa kurangnya dengan sekolah harian (lebih-lebih lagi sekolah harian di bandar-bandar) sehingga ibu bapa memandang sebelah mata dengan sekolah-sekolah berkenaan? Pelajar di sekolah harian juga boleh berjaya dengan cemerlang. Nur Amalina dan Nik Nur Madihah misalnya, adalah pelajar cemerlang dalam SPM yang bersekolah di sekolah harian, bukan di SBP. Bukti apa lagi yang kita mahu?

Kepada para ibu bapa yang tinggal di bandar dengan 1001 kemudahan pembelajaran untuk anak-anak, usahlah direbutkan tempat yang terhad di SBP itu. Berilah peluang kepada anak-anak di luar bandar yang lebih berhak. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Sesungguhnya kejayaan anak-anak itu adalah tertakluk kepada hasil usaha mereka sendiri. Selebihnya adalah bimbingan dan pemantauan daripada guru dan ibu bapa.

Jika keinginan bagi mencapai kejayaan itu kukuh dalam diri anak kita, Insya-Allah tanpa SBP pun dia boleh berjaya. Namun jika sebaliknya, bersekolahlah di kayangan sekalipun, pasti tidak akan memberikan hasil apa-apa.

07 November 2009

Sesekali mengimbau kenangan...

Saya sedang leka memasukkan data maklumat pelajar semester baru apabila pintu bilik pejabat saya dirempuh dengan kasar oleh seseorang. Tanpa ketukan memohon izin dan tanpa salam, Zafir (bukan nama sebenar), seorang daripada pelajar saya pada semester sebelumnya masuk dengan wajah mencuka.

Pelajar lelaki dengan badan bersaiz dua kali ganda saya itu mencampakkan slip keputusan peperiksaannya ke atas meja saya. ‘Ah, apa pula kali ini? Pasti ada lagi yang tidak kena’, desis hati saya.

“Beginikah Cik menilai usaha saya?? Gred D untuk Bahasa Melayu?? Macam ini ke Melayu, langsung tak mahu tolong orang Melayu?? Sebab gred yang Cik beri ini, saya kena tendang dari program degree tahu!!”

Panjang juga bebelannya (saya hanya dapat mengingati sebahagian sahaja). Dalam debar yang tidak ketentuan hala, sedaya upaya saya cuba bertenang dan mengawal perasaan panik (mahunya tidak panik, baru sebulan saya bergelar pensyarah di situ!).

Sebaik Zafir diam, saya memberanikan diri bersuara, “Ada apa-apa lagi yang awak hendak beritahu saya?”

Sesaat. Dua saat. Dia hanya membisu. Wajahnya tetap masam kelat.

Perlahan (walau pun sebenarnya agak gementar), saya meneruskan kata-kata, “Saya kesal dengan tuduhan awak, tetapi tidak mengapa, saya terima. Cuma satu pesan saya, sepuluh tahun lagi, jika awak dapat bergelar jurutera yang berjaya, awak datanglah cari saya. Boleh, kan?”

Aduh, sekali lagi pintu bilik pejabat saya berdentum apabila Zafir berlalu.

Ah, sepanjang satu semester bergelar pelajar kelas saya, Zafir adalah pelajar yang sangat bermasalah. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang mencatat kehadiran kurang daripada 65% waktu keseluruhan kuliah. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang namanya tidak disenaraikan dalam kertas projek oleh ahli kumpulannya gara-gara sikapnya yang enggan memberi kerjasama dalam tugasan yang diberi. Saya mengenalinya sebagai pelajar yang tidak hadir ke peperiksaan pertengahan semester atas alasan hujan (sedangkan pelajar ini berkereta mewah ke sana ke mari).

Belum sempat saya menyambung tugasan yang tertangguh, Zafir masuk lagi ke bilik pejabat saya. 'Aik, mahu minta maafkah?' getus hati saya yang sudah mula mahu tersenyum. Malangnya senyuman dalam hati itu terpadam apabila Zafir menghulurkan telefon bimbitnya ke arah saya.

“Ayah saya mahu bercakap dengan Cik.”

Pahit rasanya tekak pada ketika itu. Dengan lafaz Bismillah, saya mengambil telefon itu dan mula memberi salam. Dato’ Johari (bukan nama sebenar) berada di hujung talian. Ah, anak Dato’ Datin rupanya!

Dato’ Johari lebih tenang berbanding anaknya. Dengan nada lembut (memujuk?) beliau memohon saya membuat surat sokongan agar anaknya tidak ditendang dari pengajian peringkat ijazah di universiti kami. Katanya, dia malu jika orang tahu bahawa anaknya diturunkan kelayakan dari program ijazah ke program diploma.

Setenang mungkin saya menjelaskan kepada Dato’ itu bahawa anaknya sangat beruntung kerana tidak dibuang sahaja dari universiti sebaliknya diturunkan ke program diploma. Jika di IPTA, perkara sebegitu tidak berlaku. Di IPTA, pelajar yang sudah diberikan 2 kali amaran akan diberhentikan terus pengajian ijazahnya.

Dato’ itu tidak berputus asa. Dia terus cuba memujuk saya. Maka, terpaksalah saya berterus-terang bahawa tidak ada sebarang dokumen yang boleh menyokong anaknya. Rekod kehadiran, rekod tugasan dan penilaian markah anaknya tidak melayakkan dia lulus dengan gred D, namun saya masih ‘bermurah hati’ kerana tidak menggagalkannya.

Saya juga menjelaskan kepada Dato’ Johari bahawa Zafir bukan ditendang dari program ijazahnya hanya kerana dia mendapat gred D bagi kursus Bahasa Melayu, tetapi juga kerana dia gagal dalam hampir kesemua kursus lain yang diambilnya.

Akhirnya Dato’ Johari mengalah. Sebaik talian diputuskan, saya memulangkan telefon itu kembali ke tangan Zafir. Anak muda yang masih berwajah kelat itu berlalu tanpa sepatah kata.
_____________________________________

Sepuluh tahun sudah berlalu. Entah mengapa ingatan saya kembali diheret mengenang Zafir. Saya tidak tahu di mana Zafir sekarang. Entah apa nasib anak muda itu selepas pengajian ijazahnya dihentikan. Saya sendiri tidak pasti sama ada Zafir menamatkan pengajian diplomanya atau tidak.

Perasaan kesal masih beraja di hati. Setiap kali teringat kisah ini, saya pasti mendoakan agar pintu hati anak itu telah dibuka ke arah kebaikan.

Saya sangat pasti bahawa Zafir adalah anak yang pintar. Dia adalah seorang daripada ratusan pelajar cemerlang yang layak melanjutkan pengajian peringkat ijazah di luar negara. Akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara pada ketika itu, kelompok pelajar pintar ini dimasukkan ke univerisiti tempatan milik GLC yang pada awalnya memang ditubuhkan khusus bagi menampung keperluan kelompok pelajar cemerlang ini.

Sayang seribu kali sayang. Entah di mana silapnya, anak pintar seperti Zafir boleh terkandas dalam pengajian. Mungkin akibat runtunan rasa kecewa apabila gagal memenuhi cita-cita mahu melanjutkan pengajian di luar negara.

Apa pun, saya sangat ingin mendengar khabar tentang Zafir. Saya sangat ingin mendengar berita kejayaannya dalam membina kehidupan. Insya-Allah, saya yakin dia sudah berjaya seperti pelajar-pelajar saya yang lain.

27 Oktober 2009

Dunia semakin maju, pemikiran semakin bercelaru..



Mari kita amati sejenak gambar di atas. Kali pertama melihatnya, saya sudah tertarik. Bukan kerana kecanggihan fungsi alat tersebut, tetapi kerana label yang tertulis padanya.

'Kwik-dry' boleh memberi pelbagai konotasi. Mungkin ia boleh merujuk kepada nama pemilik syarikat pengeluarnya, iaitu Encik Kwik (andaian saya semata-mata, ya!).

Mungkin juga ia merujuk kepada fungsi alat tersebut, iaitu alat pengering atau dalam bahasa Inggeris, 'quick-dry'.

Jika benar 'kwik-dry' merujuk kepada alat pengering yang seharusnya ditulis sebagai 'quick-dry', alangkah malangnya nasib kita.

Mengapa?

Pakar psikolinguistik telah membuktikan dalam kajian mereka bahawa bahasa mencerminkan pemikiran seseorang. Bahasa yang bercampur-aduk dan bercelaru menunjukkan dengan jelas betapa seseorang itu mempunyai pemikiran yang bercelaru.

Justeru, jika 'kwik-dry' merujuk kepada 'quick-dry', adakah ia menunjukkan bahawa minda kita semakin bercelaru dalam berbahasa? Sudahlah bahasa kebangsaan diketepikan, bahasa asing juga sudah mula kita rosakkan.

Mungkin keadaan ini boleh disuai padan dengan ungkapan 'infrastruktur kelas pertama, minda kelas ketiga'.

24 Oktober 2009

Cakap tidak serupa bikin...

Tertarik dengan ungkapan dalam pembentangan Belanjawan 2010 petang semalam, "Kerajaan akan menggubal Akta Whistle Blower bagi menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku lain".

Whistle Blower merujuk kepada 'pemberi maklumat'. Buruk benar jika menggunakan bahasa Melayu agaknya sehingga bahasa asing diberikan keutamaan. Justeru, apa maksud pemimpin kita yang kononnya mahu bahasa Melayu dimartabatkan?

Dalam slanga masyarakat Cina, inilah yang dikatakan sebagai "cakap tidak serupa bikin".

22 Oktober 2009

Apa yang kita mahu?

Oktober ialah Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Majlis pelancaran BBK ini diadakan hampir di setiap negeri di seluruh negara. Majlis yang pastinya menelan belanja sekurang-kurangnya ribuan ringgit (mungkin juga ratusan ribu ringgit) itu memang menggembirakan para pencinta bahasa (benarkah?).

Namun, mengamati ucapan demi ucapan lewat majlis pelancaran atau majlis sambutan BBK ini boleh membuatkan kita terfikir sesuatu. Hampir semua pemimpin tanpa mengira warna bendera negeri dan fahaman politik menuntut agar bahasa Melayu terus dimartabatkan dan kedudukan bahasa Melayu dikukuhkan.

Apa maksud mereka?

Bukankah bahasa Melayu sudah lama dimartabatkan? Bukankah kedudukan dan taraf bahasa Melayu sudah jauh daripada terjamin dalam Perlembagaan Malaysia dan 1001 akta yang wujud sejak kita merdeka? Bukankah semua orang sudah tahu bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kita?

Kita tidak perlu lagi menuntut status dan martabat bahasa Melayu. Kita harus menuntut penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, bahkan juga di sektor swasta di Tanah Melayu ini.

Kita harus menuntut agar bahasa Melayu yang betul dan sopan digunakan di semua saluran radio dan televisyen. Kita harus menuntut agar para pemimpin kita menggunakan bahasa Melayu dalam semua ucapan, sidang media dan apa juga majlis yang melibatkan urusan rasmi mereka.

Kita harus menuntut agar penggunaan bahasa Melayu itu sejajar dengan adab dan kesopanan Melayu (bukan dengan menunjukkan iklan ‘punggung’ dan ‘dada’ pramugari dalam iklan syarikat penerbangan di kaca tv). Bahasa itu budaya kita. Bercelaru bahasa, maka bercelarulah adab dan budaya kita.

Tidak ada alasan untuk kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan selepas semua taraf serta status tadi dikalungkan untuk bahasa Melayu tercinta. Jika hubungan antarabangsa yang dijadikan alasan, itulah gunanya penterjemah. Biarlah orang asing berusaha mempelajari bahasa kita seperti mana kita berusaha mempelajari bahasa mereka.

Tidak salah menguasai lebih daripada satu bahasa, bukan? Namun, menjadi satu kesalahan yang sangat besar apabila kita merosakkan bahasa sendiri, menggunakan bahasa yang bercampur-aduk dengan bahasa asing dengan penuh rasa bangga dan kemudian melaung menuntut agar bahasa Melayu dimartabatkan.

Pemikiran apakah ini?

Marilah sama-sama kita fikirkan. Apa sebenarnya yang kita mahukan untuk bahasa Melayu. Mereka yang tidak faham bahasa di luar sana sedang mentertawakan para pencinta bahasa. Mereka berikan status ‘martabat’ kepada bahasa Melayu tetapi mereka juga yang menginjak penggunaan bahasa Melayu.

Inikah sebenarnya yang kita mahu?

21 Oktober 2009

PPSMI lagi?

Hari ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyatakan bahawa PPSMI mungkin akan dimansuhkan lebih awal. Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu mungkin akan dimulakan lebih awal, iaitu pada tahun 2011. Mungkin...

Kemungkinan tersebut hanya akan berlaku jika beberapa perkara berikut dapat dipenuhi:

1. Bilangan guru yang mencukupi.

Bukan guru sains dan matematik yang boleh mengajar dalam bahasa Melayu kerana bilangan guru berkenaan sudah sedia ada sejak sekian lama. Bilangan guru yang tidak mencukupi ini merujuk kepada bilangan guru bahasa Inggeris.

Lucu juga, baru sekarang KPM sedar guru bahasa Inggeris tidak mencukupi? Selepas hampir 10 tahun mata pelajaran sains dan matematik menjadi mangsa? Selepas ratusan ribu pelajar didera? Selepas PPSMI diistiharkan gagal sepenuhnya?

2. Buku-buku dan bahan mengajar dalam bahasa Melayu dapat disiapkan sebelum hujung tahun 2010.

Ini juga lucu. Ketika mereka mengalih bahasa buku sains dan matematik ke bahasa Inggeris, mereka hanya perlukan masa 6 bulan sahaja, tetapi kini mereka memerlukan lebih dari setahun untuk mengalihkannya semula ke bahasa Melayu?

Err, apa salahnya jika kita mengajar dalam bahasa Melayu walaupun buku teks dalam bahasa Inggeris, bukan? Bukankah kefahaman pelajar itu lebih penting? Haruskah guru-guru didenda jika mengajar dalam bahasa Melayu mulai sekarang sedangkan PPSMI sememangnya akan dimansuhkan?

Entahlah. Pelik, lucu, aneh dan 1001 perasaan tidak habis-habis lagi mewarnai dasar yang tidak cerdik ini.
____________________________________

Nota:
Saya pernah terjumpa laman facebook milik seorang pegawai KPM. Patutlah mereka terpaksa mengambil masa yang lama bagi menyelesaikan sesuatu kerja, rupa-rupanya mereka sibuk bersosial dan main game di laman facebook tersebut, walaupun pada waktu pejabat. Aduhai..

17 Oktober 2009

Akademik atau Materialistik?

Beberapa hari lalu, saya menerima undangan ke majlis Malam Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Sek. Keb. Putrajaya Presint 8 (2). Majlis tersebut akan diadakan pada hari Ahad, 18 Oktober 2009 (esok) jam 8pm, di Dewan Komuniti Presint 8, Putrajaya.

Menariknya, hanya ibu bapa kepada pelajar yang menerima anugerah sahaja yang dijemput hadir bagi memberi sokongan motivasi kepada anak-anak mereka. Setiap hadirin pula dikenakan bayaran sebanyak RM30 (tanpa mengira usia). Justeru, saya perlu membayar RM120 untuk kehadiran saya, suami dan dua orang anak. Ahah, si penerima anugerah juga tidak terkecuali dari bayaran tersebut.

Pada awalnya, saya tidak terfikir untuk hadir. Maklumlah, bayaran sebanyak RM120 itu bukan sedikit jumlahnya. Anak saya pasti mahukan kedua ibu bapanya hadir dan kepada siapa pula hendak saya serahkan si adik jika saya tidak membawanya sekali ke majlis tersebut, bukan? Justeru, bayaran RM120 memang tidak dapat dielakkan.

Namun memikirkan kesannya terhadap anak saya, RM120 dihulurkan juga dalam keadaan ‘paksa rela’. Bayangkan, betapa terharunya hati melihat keceriaan anak saya apabila dimaklumkan bahawa kami sekeluarga akan menghadiri majlis anugerah tersebut. Katanya, “Abang ingatkan kita tidak pergi”. Bayangkan pula betapa kecewanya dia jika kami tidak pergi.

Benar, apalah sangat nilainya RM120 jika hendak dibandingkan dengan rasa gembira di hati kecil seorang anak yang telah berusaha mencipta kejayaan. Sekurang-kurangnya, kehadiran ibu bapa dapat menjadi pendorong agar mereka lebih gigih berusaha pada masa akan datang.

Teringat pula ketika saya bergelar pelajar sekolah dahulu. Hari Anugerah Kecemerlangan pelajar tidak pernah diadakan di dewan-dewan ternama. Ia hanya diadakan di kelas-kelas yang sudah diubah suai menjadi dewan kerana sekolah saya hanya sekolah kampung yang tidak berdewan.

Namun, majlis yang dianjurkan tetap meriah dengan kehadiran sebahagian besar ibu bapa. Ada yang hadir kerana ingin melihat anak mereka menerima anugerah. Ada juga yang hadir kerana ingin melihat anak mereka membuat persembahan di atas pentas. Tidak kurang juga yang hadir sekadar memeriahkan sambutan dan menghargai usaha pelajar dan guru selepas tempoh setahun berlalu.

Ketika itu, ibu bapa tidak pernah dipaksa atau dikenakan sebarang bayaran. Sokongan motivasi ibu bapa tidak pernah berkurangan. Bahkan pelajar yang kurang cemerlang menjadikan teman-teman mereka yang berjaya sebagai pendorong agar mereka terus berusaha. Impian mereka nyata, ingin menaiki pentas yang sama menerima anugerah seperti teman mereka.

Mengingati semua itu membuatkan saya terfikir betapa kasihannya pelajar hari ini. Akibat desakan materialistik, mereka yang kurang berjaya diketepikan. Mereka tidak dijemput hadir ke majlis anugerah pelajar cemerlang, sekaligus menafikan hak mereka memotivasikan diri dengan melihat teman-teman menerima anugerah dan penghargaan.

Terfikir juga bagaimana dengan nasib seorang anak yang cemerlang tetapi ibu bapanya tidak mampu membayar jumlah yang diperlukan menyebabkan pelajar tersebut tidak dapat menghadiri majlis yang dianjurkan. Alangkah hampanya hati pelajar itu. Namun, apakan daya...

Alangkah manisnya jika tradisi lama dikekalkan. Tradisi murni tanpa elemen wang sebagai keutamaan. Apalah ertinya majlis yang mewah dan ternama jika yang bakal memiliki kebanggan tersebut hanyalah si polan dan si polan. Anak-anak kecil itu belum memahami erti gahnya sebuah majlis yang dibuat secara besar-besaran. Mereka hanya mahu kejayaan mereka dihargai dan diraikan biarpun dalam keadaan sederhana dan serba kekurangan.

Agak terkilan rasa hati memikirkan majlis yang bakal diraikan esok. Bukannya sekolah itu tidak memiliki dewan sehingga pihak pengurusan 'terpaksa' menyewa dewan yang lebih gah. Bukannya ibu bapa tidak pernah mengemukakan bantahan. Tahun ini adalah tahun kedua majlis seumpamanya diadakan. Namun apakan daya, suara ibu bapa dalam perjumpaan PIBG seolah dilupakan. Perkembangan material terus dijadikan keutamaan pada ketika usaha menggalakkan perkembangan akademik tidak lagi menjadi buruan.

____________________________________

Nota:
Sayu rasa hati mengingatkan kata-kata seorang anak kecil yang juga seorang calon penerima anugerah pelajar cemerlang. Katanya, “Saya tidak dapat pergi. Ayah kata, ayah tidak ada duit”.

15 Oktober 2009

Apa bezanya?

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menuntut tiga langkah bagi memartabatkan bahasa Melayu di Tanah Melayu ini. Satu daripada tiga langkah itu ialah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sejak dahulu (pasti juga untuk kini dan selamanya), ramai dalam kalangan anggota masyarakat tertanya-tanya, apakah perbezaan antara bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia? Benarkah istilah 'bahasa Melayu' itu terlalu rasis?

Atau mungkinkah kita yang terlalu taksub dengan istilah 'rasis' sehingga kita tidak sedar bahawa kita sedang sedaya-upaya melenyapkan satu demi satu identiti milik bangsa kita sendiri? Hanya kerana tidak mahu dituduh rasis!

Apa bezanya bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia? Guru bahasa sendiri tidak ada jawapannya!

_____________________________________

Nota:
Sangat kecewa rasanya apabila setiap kali surat yang saya hantar ke ruangan forum di akhbar arus perdana disiarkan dengan suntingan istilah 'bahasa Melayu' ditukar ke 'Bahasa Malaysia'. Buruk benarkah istilah 'bahasa Melayu' itu?

06 Oktober 2009

Bercuti

Atas beberapa masalah teknikal, saya harus menyusun semula jadual kerja (sebagai seorang pelajar, guru, penulis, isteri dan ibu sekaligus) mengikut kepentingan. Justeru, blog ini diisytiharkan 'bercuti' buat sementara waktu. Sehingga bertemu lagi selepas segala kekalutan dapat diatasi. Insyaallah.

Sekian, harap maklum. Terima kasih.